Sunday, June 9, 2019

Eid

Silap dan salahmu aku maafkan,
tapi perbuatanmu, menyakiti hatiku,
susah nak dipadamkan.
Bila sampai di sana nanti,
bila ditanya akan dosa-dosa,
bila memperihalkan jasa,
Aku harap kau akan maafkan aku,
kalau antara butiran yang ku curahkan
ada zarah hitam kebencian ku,
yang mungkin memberatkan timbanganmu...


Friday, December 7, 2018

Utopia

Di sini... 
Tiap yang bersalah akan menerima hukuman
tiap yang baik akan menerima ganjaran
tiap yang mencari akan menjumpai
tiap yang bercita akan mencapai

Tiada hipokrasi, tiada yang tersentap
tiada korupsi, tiada meratap
tiada diskriminasi, tiada kasta
tiada irihati, tiada yang meminta

Yang kecewa, tetap mengerti
yang merana, tetapkan hati
yang gembira, biar sederhana
yang berjaya, semua bangga

Kalau sakit, pasti ada ubatnya
kalau sedih, ada hikmahnya
kalau jatuh, ada pengalamannya
kalau berlari, ada tujuannya

Hormat
Hemat
Wibawa
Usaha

Kapitalis bukan
Komunis pun bukan
Fasis pun bukan

Pasca apokalips... mungkin.

Tuesday, October 2, 2018

Dalam redup Ru


Di ufuk timur, laut dan langit bertemu
Aku merenung tapi tidak melihat
Fikiran melayang tiada tempat hinggap
Sedang ombak mengusap pasir pantai
Bayu dari laut
bahang dihangatkan oleh matahari pagi
menghembus tubuhku
ýang berlindung dalam redup
sepohon Ru.

(Catatan dari East Cost Recreational Park, Singapura) 

Sunday, August 12, 2018

La Tahzan, La Khaufun... La kasal

Tidak mahu perubahan
   atau tak menerima sesuatu ketetapan
Malu untuk melawan piawaian manusia
  atau rasa marah tidak dapat meluahkan rasa
Letih cuba menegakkan pendirian
  atau tidak mampu melayan kerenah
Terlalu mengharap sesuatu akan berlaku
  atau sudah hilang harapan
Menyerah kalah dalam perjuangan
  atau menyerah segala kepada takdir
Terlalu banyak alasan
  atau... akhirnya...
hanya malas.


Monday, June 18, 2018

Bilakah Kiblatmu Berubah....



Bilakah kiblatmu terubah
Di mana titik putaran itu
Pada alur-alur sejarah mu

Mengapakau relakan tamparannya
Yang menginjakmu dari landasan
Mengapa kau biar dirimu

Tenggelam dalam lumpur hanyir
Mengapa kau biar perutmu terburai?
Rambutmu terurai?

Baru ku mengerti
Amaran ninda
Biar mati anak, jangan mati adat
Siapa kau, nak?
Kalau sudah tiada beradat…..


Sbjaafar 30 Julai 2009

Sunday, June 17, 2018

Kemusykilan


Bolehkah aku
menyapu kemelut ini ke bawah permaidani
supaya aku dapat mulakan hari baru
pada laman mukasurat baru
suci dan putih…..

bolehkah aku
membasuh kesan dosa kesilapan lalu
menggilap kanta supaya dapat aku
merubah fikiran berdasar logik
bukan emosi……

bolehkah aku
berlari pergi menjauhkan diri
dari semua yangku sayang
dari kasih mereka yang tiada syarat
yang kekadang ku rasa
membebankan….

bolehkah aku
membelakangkan nikmat bumi fana ini
melucutkan pakaian dunia
membiarkan nafsu
kelaparan….

boleh kah aku
memandang jauh melewati pepohon ego
untuk aku melihat saujana rimba
yang pastinya membuatku
rasa kerdil.....

bolehkan aku
menjadi tabah dan berani
tiada rasa malu kepada manusia
untuk menggemis dan meminta
walau yang ku pinta itu
hak ku…..

boleh kah aku
menjawab soalan
menyoal jawaban
menerima pandangan
teguhkan pendirian….

bolehkah aku
menerima diriku
damai dalam jiwaku
mahu apa yang aku ada
ada apa yang aku mahu….

bolehkah aku
Kau terima didalam syurgaMu
sedang aku selalu riak dan takabur
kerana aku rasa aku boleh
tanpa Mu…..

Sbjaafar 28 Julai 2009

Monday, January 22, 2018

Taman Firdausi

Dalam taman firdausi
Aku bersendiri tidak disantuni
Oleh tidur yang lena
Dikejutkan oleh mimpi
Terlalai oleh dunia
Aku rindu kampung halaman ku

Eid

Silap dan salahmu aku maafkan, tapi perbuatanmu, menyakiti hatiku, susah nak dipadamkan. Bila sampai di sana nanti, bila ditany...